Melayu
Melayu
Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana letaknya Kerajaan Melayu pada zaman 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Srivijaya. Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan “Melayu” itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit “Malaya” yang bermaksud “bukit” ataupun tanah tinggi. Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan “Melayu” berasal dari “Sungai Melayu” di Jambi

Etimologi Melayu
Istilah “Melayu” ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah “Melayu” hanya merujuk kepada manusia yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dengan kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu.
Istilah “Melayu” untuk merujuk kepada nama bangsa atau bahasa adalah suatu perkembangan yang agak baru dari segi sejarah, iaitu setelah adanya Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun demikian, tidaklah sehingga abad ke-17 bahawa istilah “Melayu” yang merujuk kepada bangsa semakin digunakan secara meluas. Sebelum itu, istilah “Melayu” hanya merujuk kepada keturunan raja Melayu dari Sumatera sahaja.
Penggunaan istilah “Melayu” muncul buat pertama pada kira-kira 100-150 Masihi dalam karya Ptolemy, Geographike Sintaxis, yang menggunakan istilah “maleu-kolon”. G. E. Gerini menganggap istilah itu berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu malayakom atau malaikurram, yang merujuk kepada Tanjung Kuantan di Semenanjung Malaysia. Sebaliknya, Roland Bradell menganggap tempat itu merujuk kepada Tanjung Penyabun
Masalah dalam penakrifan orang Melayu
Penakrifan orang Melayu merupakan satu pekerjaan yang sukar. Sekiranya menurut penakrifan orang Melayu sebagai orang yang bertutur dalam Bahasa Melayu, penakrifan ini merangkumi kebanyakan orang di Malaysia, Indonesia, dan sebahagian daripada negeri Thai dan Filipina. Tetapi, apa yang menjadi masalahnya, di Indonesia orang Melayu hanya merupakan salah satu daripada beratus-ratus kaum-suku di negara itu. Lebih-lebih lagi, warga Indonesia lebih suka mengenali diri mereka sebagai orang Indonesia dan mengenali bahasa mereka sebagai bahasa Indonesia. Walaupun demikian, secara amnya terdapat dua jenis penakrifan untuk menentukan sama ada seseorang itu orang Melayu. Iaitu:
* Penakrifan Undang-Undang
* Penakrifan Antropologi
Asal usul bangsa Melayu
Asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar ditentukan. Walaupun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara amnya terdapat 2 teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu:
* Bangsa Melayu Berasal daripada Yunnan(Teori Yunnan)
* Bangsa Melayu Berasal daripada Nusantara(Teori Nusantara)
Selain itu ada juga pendapat yang mengusulkan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai Jambi dan Palembang, semasa banjir besar berlaku di bumi. Tetapi pendapat ini masih belum mendapat bukti yang kukuh.
Kekeluargaan orang Melayu
Sistem kekeluargaan Melayu mempunyai ciri-ciri yang agak fleksibel. Ciri-ciri ini terlihat dalam perkahwinan Melayu yang boleh berbentuk matrilokal atau patrilokal, monogami atau poligami. Lebih-lebih lagi, perkembangan keluarga mempunyai beberpa variasi. Dalam sistem ini, keluarga boleh bercerai dan bergabung sekiranya berlaku perceraian ibu bapa dan perkahwinan semula. Malah bukan semua keluarga akan mengalami perkembangan kepada keluarga luas yakni sebuah keluarga(yang mendiami sebuah rumah) mempunyai golongan 3 generasi. Kelahiran cucu mungkin membawa kepada perkembangan ini tetapi juga mungkin membawa kepada perpecahan keluarga dengan perginya ibu bapa yang baru demi mencari ruangan yang baru di luar rumah untuk keluarganya yang mengalami penambahan ahli. Di samping itu, faktor yang menyebabkan seorang anak mewarisi rumah ibu-bapa mereka juga tidak menentu dan ia mungkin disebabkan oleh desakan ekonomi dan alasan-alasan yang lain.

